Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

“Dulu Ramah Sekarang Pendiam,” Awasi Tingkah Laku Anak Cenderung Child Grooming

today12 December 2024

Background

Pada awal Disember 2024, tularnya satu berita mengenai seorang pakar psikiatri kanak-kanak dan remaja yang berasal dari Malaysia, Amirul Arif Bin Mohd Yunos, telah dijatuhi hukuman penjara selama 8 tahun 6 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan serangan seksual melibatkan seorang remaja perempuan yang berusia 15 tahun.

Menurut laporan yang telah dikeluarkan oleh media Ireland, mangsa yang ketika itu berusia 14 tahun, diperkenalkan kepada Amirul oleh ibu bapanya namun terapi tersebut menjadi permulaan child grooming tanpa pengetahuan ibu bapanya.

Dari situ, penderaan tersebut meningkat kepada pertemuan secara rahsia dan hubungan seksual, termasuk paksaan yang menyebabkan kecederaan dalaman pada mangsa.

Kes berkenaan telah membuka mata masyarakat bahawa kesan jangka panjangnya adalah terhadap mangsa, termasuk trauma emosi, isu kepercayaan, dan kesukaran dalam hubungan sosial selain penderaan fizikal dan seksual yang lebih serius.

September 2024: Penghuni GISBH jadi mangsa liwat 

Terdapat banyak kes yang pernah berlaku pada tahun yang sama termasuklah 13 penghuni rumah kebajikan yang bernaung di bawah syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) dipercayai menjadi mangsa liwat sekitar September 2024.

Bagaimanpun menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain satu kertas siasatan dibuka mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata, mangsa yang kurang sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

Oktober 2024: Kes abang bas tunjukkan rasa suka kepada pelajar

Kes yang kedua pada tahun sama termasuklah isu seorang pemandu bas menggelar seorang penumpangnya yang dipercayai pelajar sekolah rendah sebagai orang disukainya atau crush sekitar Oktober 2024.

Hantaran berkenaan telah mendapat pelbagai reaksi dan kecaman orang ramai yang berpendapat ia tidak sesuai dan boleh dianggap sebagai gangguan seksual terhadap kanak-kanak walaupun saudara kandung atau anak buah sendiri.

Pemandu lelaki yang sudah ditahan itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan sudah diikat jamin sementara menunggu lanjutan kes untuk dibicarakan semula.

Apa itu child grooming?

Child grooming merujuk kepada proses di mana seorang dewasa membina hubungan, kepercayaan, dan emosi dengan kanak-kanak atau remaja dengan tujuan untuk mengeksploitasi atau mendera mereka, biasanya secara seksual.

Proses itu boleh berlaku secara dalam talian atau secara bersemuka (face to face) dan sering melibatkan manipulasi psikologi.

Malah menurut Muaz dari Pagi On Point Kool 101, ia juga boleh terjadi dan berlaku melibatkan ahli keluarga rapat itu sendiri.

Bagaimana ia boleh berlaku?

Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Aishah Abas, 91% statisik child grooming ini berlaku melibatkan orang yang dikenali.

“Jadi sebelum mengetahui tanda-tanda seseorang itu telah dimanipulasi, kita kena tahu dahulu step-step sexual grooming.” ujarnya.

Pertama sekali, pelaku akan mencari lokasi di mana ramai kanak-kanak berkumpul, termasuk sekolah, tadika dan sebagainya.

Yang kedua, pelaku akan mula menghubungi kanak-kanak berkenaan melalui online ataupun offline untuk berjumpa dengan mangsa termasuklah melalui mobile game dan chatting.

Seterusnya, pelaku akan cuba memenuhi kehendak anak-anak tersebut termasuk membeli permainan mahupun mencurahkan kasih sayang yang tidak diperoleh dari ibu bapa mereka sendiri.

“Ya, child grooming ini boleh berlaku kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan sebab kes lelaki dengan lelaki pun ramai sekarang ni,” katanya.

Yang ke empat, pelaku akan cuba mengasingkan anak-anak tersebut dengan ibu bapa mereka. Jadi perhatikan anak-anak ini sekiranya tingkah laku mereka berubah.

Akhir sekali, pelaku akan cuba lakukan seksual terhadap mangsa sama ada secara fizikal mahupun online dengan cara meminta gambar yang tidak senonoh.

“Bila dah ada aktiviti seksual ini, anak-anak kita akan berubah perangai menjadi lebih sensitif, tidak boleh dimarah, mungkin dulu ramah jadi pendiam, dulu sabar sekarang jadi pemarah, dulu tak pernah tipu, sekarang dah pandai tipu,” jelasnya.

Justeru, kata Aishah, langkah-langkah seumpama ini dapat dijadikan pengajaran kepada orang ramai dalam kesedaran dan usaha untuk membanteras jenayah seksual.

Untuk rekod, data Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencatatkan, 1,348 kes kesalahan seksual membabitkan kanak-kanak sejak Januari hingga Oktober 2024.

Written by: Azra Azuar


Previous post