Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

Guna Kain Putih & Labu Sayong, Mufti Wilayah Persekutuan Tegas Pendirian Tolak Raja Bomoh

today5 September 2024

Background

Babak daripada filem Nasib Do Re Mi arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pada tahun 1966 di atas masih lagi popular sehingga ke hari ini malah disebut-sebut oleh masyarakat apabila dikaitkan dengan bomoh.

Bomoh menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) membawa maksud seorang individu atau tabib yang mempunyai ilmu serta bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah, mengubati orang sakit dengan menggunakan ubat tradisional, cara kampung ataupun jampi.

Ia sangat terkenal sejak zaman dahulu lagi, namun peranan bomoh untuk mengubati penyakit dalam kalangan masyarakat Melayu tidak dapat dipisahkan walaupun pada era globalisasi hari ini.

Video-video adegan di atas ini pula adalah sebahagian daripada ritual yang dilakukan oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Raja Bomoh atau nama sebenarnya Ibrahim Mat Zin.

Sebelum ini, Ibrahim mula menarik perhatian apabila melakukan dua upacara ritual di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 24 Mac 2014, kononnya untuk mengesan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Bagaimanapun, usaha tersebut tidak terhenti disitu selepas beliau muncul sekali lagi pada Mac 2017 untuk melakukan ritual di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) di Hospital Kuala Lumpur (HKL) berhubung kes pembunuhan Kim Jong-nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un dengan menggunakan buah kelapa serta buluh di sebuah pantai dekat Bagan Lalang, kononnya untuk melindungi Malaysia dari Korea Utara.

Pada Ogos 2024, kehadiran Ibrahim kembali mencuri tumpuan pengamal media apabila beliau hadir di lokasi kejadian tanah jerlus membabitkan seorang individu warga India di Masjid India, Kuala Lumpur bagi membantu usaha mencari mangsa yang tidak ditemukan sehingga artikel ini ditulis.

Dengan berbekalkan kain putih dan labu sayong berwarna gelap, Ibrahim sempat merenjis beberapa titik air yang dikatakan diambil dekat Pulau Sembilan, Beting Beras Basah di lokasi tersebut.

Menerusi Pagi On Point yang dikendalikan oleh Muaz dan Haiza, mereka telah menemubual Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali Mohd Adnan untuk pencerahan tentang isu tersebut.

“Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal daripada suruhan Islam, maka ia ditolak oleh Allah s.w.t.” tegasnya.

Jelasnya, perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil yang sahih akan tertolak kerana ia sama maksud dengan bidaah yang sesat dalam Islam.

Sebaliknya, perkara yang disokong oleh prinsip agama ataupun dalil yang sahih pula akan diterima oleh syarak dan itulah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.

Mengulas lanjut tentang Raja Bomoh, Tuan Haji Jamali menolak ajaran tersebut lebih-lebih lagi dengan penggunaan alat yang pelik seperti teropong, meriam buluh dan kelapa kerana ritual tersebut mampu menimbulkan keresahan dalam masyarakat kerana ia jelas bertentangan dengan hukum Islam.

Menurutnya pihak berkuasa sebenarnya mempunyai peruntukan ataupun bidang kuasa untuk mengambil tindakan dimana sepanjang sesi pemulihan akidah tersebut pihaknya akan memberikan kelas bimbingan agama sehingga individu itu bertaubat dihadapan pihak terbabit.


Sementara itu menerusi petikan akhbar Berita Harian, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memohon umat Islam supaya bersangka baik.

“Saya selalu sebut, Islam ialah agama atas dasar nasihat-menasihati. Kita tidak mahu judgmental. Kita tidak tahu apa masalah orang itu.” katanya.

Terdahulu pada tahun 2017, (Ibrahim) telah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Ibrahim membuat pengakuan bersalah dan pada masa yang sama, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkan Ibrahim menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506).

“Alhamdulillah, dia sudah bertaubat dan berjanji untuk tidak mengulangi perkara itu lagi.” ujarnya.

Bagaimanapun, pihaknya telah terpanggil kembali untuk berjumpa dan berbincang dengan Ibrahim susulan kejadian baru-baru ini.

Dengarkan topik-topik menarik yang lain menerusi kool101.audio

Written by: Azra Azuar


Previous post

Sukan

Pengubat jiwa buat Ter Stegen

Berlin: Penjaga gol Marc Andre ter Stegen berkata, akhirnya penantian selama 12 tahun untuk menggantikan Manuel Neuer sebagai penjaga gol nombor satu Jerman dirasakannya sebagai ‘ubat untuk jiwa’.

today5 September 2024