Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Viral

Ketahui Cara Puji Anak Yang Betul

today12 January 2025

Background

“Wah, pandainya anak ibu ni!”

Itulah ungkapan yang sering didengari daripada bibir seorang ibu atau bapa kepada anak sebagai tanda penghargaan selain pemangkin semangat buat mereka sekaligus menggalakkan anak ini untuk melakukan perkara yang lebih baik di masa hadapan.

Malah, umum mengetahui pujian mempunyai kelebihan lain termasuk memupuk keyakinan dan jati dalam diri sekaligus mampu menerapkan cara pemikiran dan bercakap secara positif tentang diri mereka sendiri.

Secara tidak langsung, dengan sanjungan atau kata-kata semangat ini juga boleh membantu anak-anak mempelajari cara untuk menghargai sesebuah kejayaan dengan berusaha lebih keras dan gigih untuk mencapai matlamat dan meningkatkan sesebuah motivasi.

Namun, ibu bapa juga perlu mengambil tahu bahawa dengan pujian juga ia mampu mendatangkan keburukan sekiranya disalahertikan.

Kajian psikologi menunjukkan bahawa memuji kanak-kanak sebagai “pintar, cantik, kacak” dikaitkan dengan lebih banyak kesan yang negatif untuk kanak kanak kerana mereka akan mula mempunyai mindset bahawa mereka adalah kanak kanak yang bijak dan gifted.

Kesan untuk jangka masa panjang:

  • Mereka tidak banyak berusaha kerana telah percaya diri sendiri adalah istimewa
  • Tidak mahu atau takut menyahut cabaran baru
  • Takut dan sukar untuk menerima kegagalan
  • Mula belajar menipu untuk memastikan reputasi kekal sebagai kanak kanak pintar

Bagaimanapun menerusi Pagi On Point (POP) Kool101 bersama Paknil, Haiza dan Muaz, mereka telah menemuramah seorang Parenting Coach iaitu Tn. Fhais Salim untuk mengetahui lebih lanjut tentang langkah-langkah yang betul untuk memuji anak-anak ini.

Menurut Tn Fhais, pujian ini sememangnya penting untuk pertumbuhan emosi, sosial dan psikologi kanak-kanak. Namun, terdapat beberapa langkah yang harus diperbetulkan dalam menunjukkan rasa penghargaan kepada mereka.

5 Cara Memuji Anak Dengan Efektif

1. Puji tindakan atau usaha, bukan hasilnya

Dengan memanamkan pemikiran ini, anak-anak akan rasa lebih termotivasi untuk melakukan apa sahaja untuk mendapat pujian.

Contohnya:
a) “Pandainya kamu kemas mainan!” (Salah)
b) “Ibu nampak kamu susun mainan dalam bilik kamu. Patutlah bilik kamu bersih dan teratur!” (Betul)

Jika ibu bapa sekadar memuji hasilnya, anak tidak akan berani atau malas untuk mencuba sesuatu yang baru selagi tiada sesiapa yang memuji tindakan yang dilakukan.

2. Maklumkan secara terperinci (specific)

Tidak cukup sekadar berkata “Pandainya anak ibu!”, tetapi cara berkomunikasi dengan anak yang betul adalah lebih spesifik. Anak-anak perlu tahu secara terperinci apakah perbuatan yang menyebabkan anda berasa bangga dengannya. Dengan cara ini, mereka dapat belajar dan mengembangkan sesuatu kemahiran dengan lebih baik.

Contohnya:
a) “Good girl kakak, baik je dekat restoran tadi” (Salah)
b) “Ayah suka cara kakak bersabar sambil baca buku cerita sementara tunggu ayah dan ibu habis makan dekat restoran tadi” (Betul)

Menurut ahli psikologi, Jennifer Henderlong Corpus and Mark Lepper, yang telah mengkaji kesan memuji anak selama lebih 30 tahun, anak yang diberi pujian secara terperinci akan belajar untuk meningkatkan usaha yang lebih berlipat-ganda berbanding pujian yang bersifat umum.

3. Puji dengan ikhlas

Anak-anak ini sebenarnya lebih sensitif. Jadi, jangan ambil remeh dan elakkan pujian ‘sepintas lalu’ kerana mereka tahu membezakan sama ada anda benar-benar ikhlas atau sekadar mengambil hatinya.

Walaupun niat anda murni, anak tidak perlu dipuji setiap masa. Hanya puji mereka pada tempat dan waktu yang tertentu sahaja sudah memadai.

Anda perlu ingat bahawa pujian adalah medium untuk melatih keyakinan anak dan tidak wajar digunakan untuk memanjakan anak.

Misalnya, jika dia tewas dalam pertandingan, anda tidak boleh memuji dan mengucapkan tahniah padanya hanya untuk mengelakkannya bersedih. Sebaliknya, anda perlu mengajar anak-anak ini untuk menerima kenyataan dengan memberi kata-kata semangat agar mereka mampu melakukan yang lebih baik pada masa akan datang.

4. Tidak Membandingkan

Kadang kala, dalam pujian ibu bapa ini juga terselit unsur perbandingan yang tidak sepatutnya.

Contohnya:
a) “Abang dapat nombor satu la, adik belajar rajin-rajin tau supaya nanti boleh jadi macam abang.” (Salah)
b) “Abang dah berusaha dan korbankan banyak masa untuk peperiksaan. Syukur, dia dah berjaya.” (Betul)

Sebagai anak, kita mesti tidak suka dibandingkan walau apa jua alasannya. Tambahan pula, ibu bapa perlu mengetahui hakikat bahawa setiap individu adalah unik dan tidak mempunyai minat mahupun kebolehan yang sama.

5. Manfaatkan body language

Percayalah, salah satu cara memuji yang paling berkesan tidak memerlukan sebarang kata-kata. Ini kerana terdapat masanya juga, kata-kata boleh mengelirukan anak dan merumitkan keadaan.

Cukup sekadar senyuman, pelukan, dan mata anda yang bersinar ini memberi makna mendalam bahawa anda amat berbangga dengan anak anda.

Contohnya, anda boleh buat high five dengan anak apabila mereka mampu mengeja atau mengira. Seterusnya, berikan senyuman yang paling manis sambil menggosok belakangnya apabila mereka sedang belajar dan menyiapkan kerja sekolah.

Jangan Sampai Anak ‘Ketagih’ Sanjungan

Anak-anak yang terlalu sering dipuji akan hilang rasa keyakinan pada diri sendiri. Bila terlalu biasa dengan kata-kata penghargaan daripada ibu bapa, akan terbit suatu perasaan yang dahagakan pujian.

Perasaan ini akan membuatkan anak sentiasa mahu mendengar kata-kata pujian dan seterusnya akan sentiasa merasa tidak yakin dengan kebolehan diri.

Rasulullah turut menegah kita untuk terlebih memuji sesama sendiri kerana dikhuatiri akan terbit rasa ujub atau hasad dengki. Sebaliknya, ucapkanlah ‘Alhamdulillah’ dan doakanlah kejayaan mereka.

Sabda Baginda: “Jika salah seorang dari kalian melihat sesuatu yang menakjubkan dari saudaranya, pada dirinya atau pada hartanya, maka doakan keberkatan padanya, kerana sesungguhnya penyakit ain itu haq (benar). (HR Ahmad)

Namun, pujian adalah antara elemen penting dalam cara berkomunikasi dengan anak.

Seteguh manapun anak-anak anda, mereka masih perlukan kata-kata rangsangan daripada anda.

Semoga anak-anak ini akan menjadi seorang yang lebih optimis dalam apa jua yang dilakukannya- tidak kiralah sama ada ia membuahkan hasil atau sebaliknya!

Written by: Azra Azuar


Previous post

Sukan

Hatrik Dandan bantu NS benam AFHT

Seremban: Skuad hoki wanita Negeri Sembilan berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila membelasah Armed Forces HT (AFHT), 5-1, dalam perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2025, yang berlangsung di Stadium Hoki Seremban 2, petang tadi.

today12 January 2025