Kisah-kisah penculikan seperti ini sememangnya membuatkan kita kadang-kadang takut perkara buruk akan terjadi kepada kita atau keluarga kita. Tapi kisah kali ini buka lah kisah seperti kes penculikan yang biasa kita dengar. Ini adalah kisah seorang gadis bernama Elisabeth Fritzl yang diculik oleh bapa sendiri selama 24 tahun.
Diculik Bapa Sendiri
Kisah ini bermula semasa Elisabeth Fritzl berumur 11 tahun, di mana pada 28 Ogos 1984 kedua ibu bapa Elisabeth melaporkan anaknya telah hilang. Selepas beberapa minggu kehilangan anaknya, dikatakan mereka telah menerima surat yang dipercayai daripada Elisabeth. Dalam surat tersebut dinyatakan bahawa Elisabeth telah lari daripada keluarganya kerana terlalu bosan dengan kehidupan mereka. Bapanya, Josef Fritzl mengatakan bahawa anaknya sering bercerita tentang satu kumpulan ajaran agama dan mengesyaki anaknya itu telah melarikan diri untuk menyertai kumpulan tersebut. Tapi hakikatnya Josef tahu di mana anaknya berada…

Dikatakan Josef telah memperdaya Elisabeth untuk membantunya membetulkan pintu bilik bawah tanah di rumahnya. Semasa sedang membetulkan pintu, Josef memukul Elisabeth sehingga tak sedarkan diri dan mengurungnya di dalam bilik bawah tanah itu. Dari saat itu, bermulalah derita Elisabeth selama 24 tahun!
Seorang Bapa Durjana!
Selama 24 tahun Josef membuat cerita bahawa anaknya itu telah melarikan diri. Isterinya pula mempercayai setiap kata-katanya, dan pihak polis pula tidak menjumpai apa-apa petunjuk di mana Elisabeth berada. Menurut cerita Elisabeth, semasa dia dikurung di bilik bawah tanah, dia dijadikan sebagai ‘alat’ pemuas nafsu bapanya itu. Dikatakan bapanya sering turun ke bawah pada lewat malam, memaksanya menonton video lucah dan merogolnya. Hasil daripada perbuatan bapanya itu, Elisabeth telah melahirkan lima orang anak.

Isteri Josef, iaitu ibu kepada Elisabeth selalu menyangka bahawa suaminya itu adalah seorang yang rajin bekerja. Setiap kali josef turun ke bilik bawah tanah, dia menyangka suaminya akan menyiapkan kerja-kerjanya di bawah. Begitu juga dengan ahli keluarganya yang lain. Tapi alangkah terkejutnya mereka bila mengetahui bahawa Elisabeth yang dikatakan hilang selama 24 tahun itu sebenarnya ada di bawah mereka.
Akhirnya Segalanya Terbongkar
Sepanjang berada di bawah, Elisabeth cuba untuk memberikan kehidupan terbaik buat anak-anaknya dan mendidik mereka dengan pendidikan asas yang dia tahu. Tiba satu hari, anak pertamanya iaitu Kerstin yang berumur 19 tahun jatuh sakit. Elisabeth merayu kepada bapanya untuk membawa anaknya ke hospital. Josef ketika itu tidak punya banyak pilihan dan membawa juga Kerstin ke hospital. Josef menulis satu surat seolah-olah datang daripada Elisabeth yang menyatakan bahawa dia sudah tidak mampu untuk menjaga anaknya yang sakit itu dan meminta tolong dari kedua orang tuanya untuk menjaga Kerstin.

Setibanya di hospital, banyak pertanyaan yang disoal oleh pihak polis kepada Kerstin. Selama seminggu, tiada ahli keluarga lain yang datang dan menuntut Kerstin. Pihak polis mula curiga dengan cerita daripada Josef kerana tidak mungkin Kerstin tidak mempunyai ahli keluarga lain dari sebelah bapanya. Setelah disiasat, pihak polis mendapati surat-surat yang dipercayai datang daripada Elisabeth itu mencurigakan. Tapi penemuan Elisabeth bukan hasil daripada pihak polis, tetapi daripada Josef sendiri yang melepaskan anaknya itu dari kurungan pada 26 April 2008.
Selepas dilepaskan, Elisabeth segera pergi ke hospital untuk melihat anaknya yang sakit itu. Pihak hospital curiga akan kehadiran Elisabeth dan memanggil pihak polis untuk siasatan lanjut. Selepas diberi janji bahawa dia tidak akan bertemu dengan bapanya semula, akhirnya Elisabeth menceritakan segala-galanya yang berlaku kepada dirinya selama 24 tahun di dalam kurungan bapanya.

Kini Elisabeth hidup dengan identiti baharu di sebuah perkampungan yang tidak diketahui. Kisah hidupnya disimpan daripada pengetahuan umum bagi memberi kehidupan baharu dan normal kepada Elisabeth. Tidak ada sesiapa pun yang dibenarkan untuk membuat temu bual khas bersama Elisabeth, dan kini ahli keluarganya benar-benar menjaganya.
Baca juga artikel menarik lain:
Satu-Satunya Manusia Yang Terbunuh Akibat ‘Dilanggar’ Meteor
Pasangan Suami Isteri Pura-Pura Bahagia Di Kaca TV, Lebih 800 Video Dera Anak Angkat Ditemui!
Post comments (0)