Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Drama Ditayangkan Di Bulan Ramadan Yang Paling Diingati Dan Patut Ditonton Semula

today1 May 2021

Background

Setiap kali Ramadan tiba, pasti ada antara kita yang tertunggu-tunggu untuk menonton drama Ramadan yang akan ditayangkan khas di televisyen. Drama-drama di bulan Ramadan bukan sahaja menghiburkan malah ia sarat dengan mesej dan kebanyakkannya menyentuh emosi. Lagi pula bulan ini bulan mulia dan bulan jalinan kasih, ia adalah peluang buat penggiat drama untuk mengetengahkan cerita berkaitan perhubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan. Ini adalah drama Ramadan yang paling diingati dan ‘best’ jika dapat ditonton semula bagi mengenang kembali memori.

Baca juga: Cara Nak Berjimat Ketika Berbuka Puasa Di Bulan Ramadan

 

Diari Ramadhan Rafique

Siri drama televisyen Diari Ramadan Rafique adalah drama yang popular pada tahun 2006. Watak Rafique masih diingati sehingga hari ini. Drama ini mengingatkan ramai kepada zaman kanak-kanak. Ingat Ramadan pasti teringat Diari Ramadhan Rafique. Rafique adalah anak kacukan Melayu dan Perancis. Bapanya Phillipe Alexander sudah dua tahun meninggal dunia namun Rafique dan ibunya Siti Zubaidah masih menetap di Perancis. Apabila Siti Zubaidah ditugaskan bekerja di Singapura selama 2 minggu pada bulan Ramadan dia terpaksa menghantar Rafique untuk tinggal bersama ibunya di Malaysia. Rafique tidak sukakan Malaysia kerana fobia dibuli oleh sepupunya. Ialah ‘mat salleh’ masuk kampung, mestilah dikacau oleh saudara-mara, lagipula sepupu-sepupu Rafique memang nakal. Banyak perkara yang dipelajari oleh Rafique sepanjang dia tinggal bersama neneknya. Antara perkara paling signifikan yang dilakukan adalah belajar untuk berpuasa.

 

Kerana Cintaku Saerah

Kalau anda tak pernah tonton siri drama ini, anda perlu tontonnya sekarang. Kerana Cintaku Saerah adalah antara drama sedih yang paling diingati sehingga hari ini. Ia mengisahkan tentang Jibek (Benji) seorang pemuda kurang upaya yang sangat mencintai seorang wanita yang bernama Saerah (Ummie Aida). Jibek dan Saerah merupakan kawan sejak kecil dan mereka telah berjanji untuk berkahwin apabila dewasa. Namun, Jibek diserang penyakit ketika remaja yang membuatnya menjadi lembab. Apabila dewasa, Saerah tertarik kepada Mustaza (Ezany Nizariff) dan kemudian terlanjur sehingga Saerah mengandung anak luar nikah. Ibu Saerah (Wan Maimunah) begitu kecewa dengan tindakan anaknya lalu memaksa Saerah untuk berkahwin dengan Jibek yang setia menunggunya untuk menutup malu. Setelah melahirkan dan habis berpantang, Saerah menggunakan peluang tersebut untuk lari ke Kuala Lumpur meninggalkan anak dan suaminya. Lebih banyak konflik terjadi apabila Jibek mengambil keputusan untuk keluar daripada kepompong dan belenggu rindu untuk mencari Saerah setelah bertahun menunggu tanpa berita. Lagu tema Kerana Cintaku Saerah yang bertajuk Relaku Menunggumu nyanyian Imran Ajmain yang  menggambarkan Jibek begitu terkesan.

 

Ramadan Yang Hilang

Ramadan Yang Hilang mengisahkan tentang konflik dua beradik, Zafirah (Eira Syazira) dan Delisha (Syatilla Melvin). Delisha adalah anak angkat kepada keluarga Zafirah. Ibunya sudahpun meninggal dunia manakala ayh tirinya dipenjarakan kerana membunuh tanpa niat. Ketika Zafirah dijaga oleh ayah tirinya, dia sering kali didera secara fizikal dan emosi menyebabkannya menjadi seorang kanak-kanak yang murung. Dia kemudian menjadi anak angkat kepada Zubair dan Saadiah yang menjaganya bagaikan anak sendiri. Namun, kehadiran Zafirah membuatkan pasangan ini hilang tumpuan buat anak kandung mereka, Delisha. Malah, Delisha sering kali disalahkan jika terjadi sesuatu konflik menyebabkan dia membesar menjadi lebih pendiam dan jauh daripada kasih sayang ibu bapanya. Banyak perkara yang perlu dikorbankan Delisha dek kerana perlu mengalah dengan Zafirah.

 

Ramadan Terakhir

 

Drama ini berkisahkan tentang keluarga Hisham yang hanyut dengan dunia sehingga Hisham mendapati bahawa dia mengalami kanser kronik dan mampu hidup untuk beberapa bulan sahaja. Dia kemudian bertekad untuk menggunakan masa singkat hidupnya untuk membawa keluarganya kembali ke pangkal jalan. Perubahan yang dilakukan Hisham pada mulanya dipandang sinis oleh isterinya sendiri, Mazni. Malah, anak-anaknya juga tidak menghiraukannya lebih lagi anak lelakinya yang mengamalkan pergaulan bebas bersama teman wanitanya. Apabila pembantu rumah Hisham, Kak Hawa yang sudah sekian lama bekerja dengannya berhenti kerja, Hisham menggantikan tempatnya dengan seorang gadis yang bernama Sakinah. Sakinah adalah gadis yang berpewatakan lemah lembut dan taat kepada agama. Kehadiran Sakinah mengubah banyak perkara. Tetapi Sakinah ini sebenarnya berkait rapat dengan Hisham dan di akhir drama ini baru penonton tahu siapa Sakinah sebenarnya.

 

Seputeh Qaseh Ramadan

Seputih Qaseh Ramadan mengisahkan tentang pengorbanan seorang isteri buat suaminya yang tercinta. Seputih Qaseh (Eja) adalah seorang wanita yang sungguh baik, luhur, dan ikhlas. Dia begitu mencintai suaminya, Ridhwan (Arash) malangnya, perkahwinan mereka tidak direstui oleh ibu Ridhwan. Ridhwan kemudian dibuang daripada keluarganya dan hidup susah bersama Qaseh. Suatu hari, Ridhwan membawa balik sebuah beg yang mengandungi dadah dan rumah mereka diserbu oleh pihak polis dengan serta-merta. Bagi menyelamatkan suami dan anak-anaknya, Qaseh mengaku kepada pihak polis bahawa dadah itu adalah miliknya. Akibatnya, dia dijatuhkan hukuman penjara selama 12 tahun walaupun pada dasarnya dia tidak bersalah. Sesudah selesai menjalani hukuman di penjara, Qaseh kembali ke pangkuan suami dan anak-anak tercinta tetapi malangnya Ridhwan telahpun berkahwin lain.

 

Nur 1 Dan 2

Kejayaan drama Nur dianggap luar biasa sehingga ia kerap kali diulang tayang dan dengan permintaan ramai drama ini dilanjutkan dengan kesinambungan Nur 2. Nur mengisahkan tentang 2 golongan yang dianggap berbeza iaitu ‘golongan pendosa’ dan ‘golonagn beriman’. Ustaz Adam (Syafiq Kyle) yang berkahwin dengan seorang pelacur Nur (Amyra Rosli) mendapat banyak tentangan daripada masyarakat. Malah keluarga Adam sendiri turut membenci hubungan mereka kerana mereka jijik dengan seorang pelacur yang dianggap ahli neraka. Namun, Adam mendapat sokongan penuh daripada ayahnya yang juga merupakan seorang ustaz yang terkenal dan itu memberi Adam kekuatan untuk terus menapak ke hadapan. Nur adalah seorang wanita yang sangat baik dan taat kepada Tuhannya dan itulah yang menyebabkan Adam tertarik kepadanya. Pertama kali Adam melihatnya solat di lorong gelap adalah titik permulaan buat Adam untuk terus bertekad membimbing Nur dan menariknya keluar daripada kegelapan hidup.

Baca juga: Drama Nur Dan Nur 2 Kini Merentas Ke Indonesia

Sumber: RemajaYouTube

Written by: Danisyah Dalily


Previous post