Baru-baru ini tular sebuah ciapan tular di Twitter yang mempersoalkan mengenai segelintir rakyat Malaysia yang seolah-olah telah digelar ‘pengkhianat’ hanya kerana melanjutkan pelajaran sekaligus bekerja di luar negara dan tidak mahu pulang semula ke tanah air. Menerusi maklum balas ciapan tersebut, ramai yang berkata tidak wajar untuk berkata sedemikian kerana keputusan tersebut adalah rezeki dan pilihan mereka tersendiri. Namun, nama seorang arkitek dan penulis terkenal Teme Abdullah tidak terkecuali turut menerima tempias daripada ciapan tersebut.
Menurut Teme, seorang individu memberi maklum balas yang telah mempertikaikan mengenai Teme yang bekerja di United Kingdom (UK) tetapi menjual buku di sekitar masyarakat Malaysia. Tidak dapat menahan diri daripada membidas ciapan tersebut, Teme menjawab persoalan itu dengan menceritakan kisah disebalik kenapa dia tidak kembali semula ke Malaysia setelah tamat pembelajaran. Penceritaan yang dimuat naik di akaun rasmi Twitter miliknya sangat ringkas tetapi mudah difahami.
Ada yang perli saya di reply dengan mengatakan, “Kerja kat UK pastu buat duit jual buku dengan budak-budak kat Malaysia.”
Mari saya ceritakan secara ringkas. https://t.co/1uA7ktFXpI
— teme Abdullah (@itsteme) June 14, 2021
Baca juga: Teme Abdullah Inspirasi Anak Muda, Trending Di Twitter Sempena Ulang Tahun Kelahirannya
Penulis yang terkenal di kalangan remaja masa kini menegaskan bahawa dia hanya menggunakan wang simpanan sendiri untuk membiayai yuran pembelajaran tahun pertama dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Seni Bina serta untuk menampung perbelanjaan sehariannya sepanjang berada di UK. Tambah Teme lagi, dia tidak pernah meminta untuk dikenali dan mendapat pengikut yang banyak di kalangan rakyat Malaysia.
Meskipun telah ‘selesa’. bekerja di London, Teme seakan tidak mahu dilabel sebagai seorang yang ‘lupa daratan’. Teme akui dia pernah kembali pulang ke Malaysia dan telah memohon untuk bekerja dengan kerajaan namun permohonannya itu ditolak kerana Teme dikatakan tidak layak di atas alasan Teme hanya pemegang Ijazah Sarjana Muda Senibina (Part 1) manakala pihak kerajaan mahukan pemegang Ijazah Senibina (Part 2).
Walaupun mempunyai tahap pendidikan sebagai seorang arkitek, Teme tidak berputus asa untuk mencuba nasib bekerja di Malaysia sehingga sanggup memohon untuk bekerja sebagai pelukis pelan berbanding kerjayanya sebagai soerang arkitek yang menerima gaji 9 kali ganda lebih rendah daripada gajinya di London. Namun, menurut Teme permohonan kerja tersebut turut ditolak kerana dikatakan Teme ‘overqualified’. Tidak menunggu lama, Teme berkata dia terus terbang semula ke UK dan bekerja di sana sebagai arkitek sehingga masa kini.
Di akhir ciapan tersebut, Teme berharap agar penjelasannya itu akan menjawab setiap persoalan yang bertanya mengenai mengapa dia tidak bekerja sebagai seorang arkitek di Malaysia. Tambahnya, Teme berharap agar rakyat Malaysia akan terhindar daripada sifat iri hari yang seakan tidak senang melihat kejayaan orang lain.
Menerjah di ruangan balas ciapan tersebut, ramai dalam kalangan peminat penulis hebat ini meluahkan isi hati mereka yang akan tetap menyokong Teme walau di mana dia berada. Ada juga dalam kalangan mereka yang memberi pesanan kepada Teme agar mengendahkan segelintir rakyat Malaysia yang banyak mempersoalkan mengenai keperibadian hidupnya. Tidak dinafikan kejayaan Teme sering menjadi inspirasi anak-anak muda, malah Teme turut mendapat pengiktirafan daripada Agong dan Permaisuri Agong yang menghargai bakat arkitek muda ini.
Bagaimanapun, persoalan mengenai pekerjaan seseorang ini merupakan sesuatu isu yang sensitif. Tidak wajar untuk dibangkitkan kerana setiap individu mempunyai corak kehidupan yang berbeza. Soal jodoh, ajal, dan rezeki ini semuanya terletak di tangan Pencipta (Allah SWT), siapa kita sebagai manusia yang kerdil untuk mempersoalkan rezeki orang lain?
Penulis: Aqilah Paharuzi
Sumber: Twitter Teme Abdullah