Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Kisah Di Sebalik 5 Terowong Paling Misteri Di Dunia

today30 June 2021

Background

Umum mengetahui penggunaan lebuh raya berkonsepkan terowong banyak terbina bukan sahaja di Malaysia, malah juga di seantero dunia. Terowong merupakan laluan bawah tanah yang gelap dengan hanya membuka jalan di kedua-dua belah penghujung terowong tersebut. Untuk pengetahuan semua, cara pembinaan sesebuah terowong adalah bergantung kepada struktur tanah dan batuan. Oleh itu, kos pembinaan sebuah terowong amat memakan wang dan masa yang lama berbanding struktur lain. Berikut adalah 5 kisah di sebalik terowong paling berhantu di seluruh dunia:

1. Terowong Chusetu, Terowong Berbisik Jepun 

Terowong ini terletak di sebuah pulau di Jepun yang dikenali sebagai pulau Kyushu. Difahamkan terowong Chusetsu ini berfungsi sebagai laluan jalan raya yang menyambungkan kawasan pergunungan yang gelap dan sunyi. Sebalik kisah terowong misteri ini terjadi dek kerana nasib malang seorang wanita muda yang ditemui mati akibat dibunuh dalam terowong ini. Difahamkan roh wanita tersebut terperangkap dan menghantui seluruh kawasan terowong ini.

Menurut orang ramai yang masuk ke dalam terowong ini, mereka sering mendengar bunyi tangisan dan jeritan. Malah, apabila mereka sedang memandu akan muncul kelibat seorang wanita misteri yang berlari keluar dari terowong menghala ke tengah jalan secara tiba-tiba, membuatkan pemandu hilang kawalan. Mereka percaya gangguan-gangguan tersebut adalah berpunca daripada roh wanita yang dibunuh dalam terowong tersebut cuba untuk menganiaya serta membalas dendam. Difahamkan, laluan terowong ini telah ditutup serta merta.

Baca juga: Ini Adalah Sebab Mengapa Orang Suka Menonton Filem Seram Dan Thriller

2. Terowong Screaming, Kanada – Kisah Wanita Terbakar Hidup-Hidup 

Bekas terowong keretapi yang dibina pada awal tahun 1900 dahulu di Kanada ini terletak di kawasan Niagara Falls. Menurut penduduk tempatan, terowong sepanjang 125 kaki ini dipercayai berhantu akibat roh seorang wanita yang mati hangus dijilat api kebakaran. Kisah disebalik terowong Screaming ini terjadi pada suatu malam 100 tahun dahulu di mana sebuah rumah ladang tidak jauh dari terowong ini terbakar. Seorang wanita yang merupakan penghuni rumah itu sempat melarikan diri untuk mendapatkan bantuan namun tidak kesampaian dek kerana seluruh badannya sedang terbakar. Difahamkan, wanita ini masuk ke dalam terowong meraung kesakitan lalu meninggal di tengah-tengah terowong.

3. Terowong Malinta, Filipina – Terowong 1000 Katil 

Semasa perang dunia kedua terdahulu, sebuah terowong telah dibina oleh Amerika Syarikat pada tahun 1922 yang terletak di Pulau Corregidor di Filipina. Terowong ini turut dikenali sebagai terowong 1000 katil dek kerana pernah dijadikan sebagai hospital yang menempatkan 1000 katil. Rupa-rupanya, terowong ini tidak digunakan sebagai laluan kenderaan mahupun keretapi, malah pada awalnya digunakan sebagai tempat penyimpanan senjata, kemudian berubah menjadi pejabat tentera, hospital dan kini hanya dijadikan sebuah muzium untuk dikunjungi para pelancong.

Di sebalik cerita kisah seram di terowong ini dikaitkan dengan kematian ratusan tentera dalam terowong ini yang dipercayai sakit tenat ataupun maut ketika sedang berperang. Menurut orang ramai yang lalu di kawasan terowong ini akan mendenger bunyi-bunyi pelik seperti bisikan, bunyi tentera berkawat, dan bunyi jeritan meraung kesakitan. Difahamkan, seluruh kawasan kepulauan ini berhantu dek kerana kisah penjajahan tentera Sepanyol, Amerika dan Jepun.

4. Terowong Lebuhraya Karak, Malaysia – Terowong Lagenda di Malaysia

Di Malaysia, terowong yang amat dikenali dan sering menjadi perbualan hangat berlakunya insiden misteri terletak di lebuh raya yang menggabungkan bandar Kuala Lumpur dan Karak. Menurut orang ramai yang menggunakan laluan seram ini sering nampak kemunculan kanak-kanak berpakaian sekolah yang mencari ibunya kemudian lesap dalam sekelip mata. Orang ramai percayai roh kanak-kanak tersebut merupakan roh daripada kes kemalangan sebuah bas sekolah yang terbalik di satu persimpangan dahulu. Selain itu, orang ramai turut melihat kelibat kenderaan Volkswagen Kuning yang bergerak tanpa pemandu. Antara perkara misteri lain yang terjadi adalah penampakan wanita berbaju kebaya merah dan  pontianak.

5. Terowong Lawang Sewu, Indonesia – Terowong Pembuangan Mayat Tahanan 

Beralih kepada kisah terowong berhantu di negara jiran, Indonesia. Sebuah terowong yang terletak di daerah Lawang Sewu, Kota Semarang, Indonesia ini merupakan bangunan bersejarah pada tahun 1909 oleh pihak Belanda dan Jepun. Difahamkan, semasa zaman penjajahan, kawasan ini dijadikan kubu, penjara dan hospital untuk penempatan tentera sehingga ramai yang terkorban menjadikan punca berlakunya kisah berhantu di kawasan ini. Menurut penduduk tempatan, penampakan entiti yang sedang bertenggek di sekeliling bangunan dengan badan hitam legam dan mempunyai mata berwarna hijau.

Terowong bawah tanah ini disambungkan kepada bangunan-bangunan disekelilingnya yang menjadi laluan bergerak tentera secara senyap ataupun untuk melarikan diri. Semasa kejadian peperangan berlaku, difahamkan kawasan ini menjadi tempat pembuangan mayat-mayat tahanan yang meninggal akibat didera tentera jajahan. Orang ramai yang lalu di kawasan terowong ini banyak mendengar suara menyeramkan yang dipercayai merupakan suara kepada roh-roh bekas tentera yang meninggal dahulu.

Baca juga: Bermula Dengan Kematian Gadis Kecil, Patung Seram Okiku Dikatakan Mampu Tumbuh Rambut

Penulis: Aqilah Paharuzi

Sumber: KupikupiGo

Written by: Hamka Rosli


Previous post