Dapatkan Audio+
Imbas untuk muat turun aplikasi

Hiburan

Pembunuh Bersiri Paling Gila, Guna Kulit Mangsa Jadikan Perabot

today9 April 2021

Background

Sebenarnya kalau nak dikisahkan kes pembunuhan, memang ngeri sebab ada kes yang sampai cincang satu badan. Terdapat juga satu kes di Amerika di mana pembunuh yang bernama Ed Gein dikatakan membunuh mangsanya dan menyiat kulit mayat tersebut. Kalau nak dibayangkan pun macam mana dia buat memang rasa nak pitam. Disebabkan cara pembunuhan yang pelik dan gila, konsep pembunuhan Ed Gein ini juga dijadikan ilham untuk beberapa watak pembunuh di dalam filem Hollywood seperti Buffalo Bill, Norman Bates, dan Leatherface.

Zaman Kanak-Kanak Yang Sepi

Kehidupan awal Ed Gein semasa di sekolah di katakan agak pelik. Guru dan rakan sekelasnya menyifatkannya sebagai seorang yang pemalu tetapi mempunyai tingkah laku yang pelik seperti ketawa seorang diri. Mungkin dia sedang berjenaka dengan diri sendiri sampai terhibur sorang-sorang. Sekolahnya menyalahkan ibunya yang sering menghukumnya kalau dia cuba berkawan dengan budak-budak lain. Nak berkawan pun kena marah. Oleh sebab itu, Ed Gein lebih banyak menyendiri semasa zaman kanak-kanaknya.

Image via:https://decider.com/

Selain memberikan hukuman kepadanya kerana bersosial, ibunya turut mengurungnya bersama abangnya di ladang mereka. Ibunya juga turut membacakan kitab bible kepada mereka dan memberitahu bahawa dunia ini dipenuhi dengan kejahatan, dan semua perempuan adalah pelacur, serta minuman arak dan maksiat adalah alat godaan syaitan. Agak ekstrem juga bila semua perempuan dikatakan sebagai pelacur.

Pembunuhan Pertama

Apabila mencecah umur 38 tahun, Ed Gein dan juga abangnya bekerja di ladang mereka. Sedang mereka membakar tumbuhan paya tiba-tiba api menjadi marak. Kemudian bomba datang untuk memadamkan api, tetapi Ed memberitahu yang abangnya tidak dijumpai. Pada malamnya, mayat abang Ed dijumpai di kawasan paya yang terbakar siang tadi. Dilaporkan mati akibat sesak nafas. Pada mulanya mereka mengesyaki kebakaran tersebut telah mengakibatkan kematian abangnya. Tetapi pihak berkuasa mendapati abangnya mati sebelum api menjadi tidak terkawal, serta terdapat kesan lebam di kepalanya. Jadi ini menimbulkan tanda tanya adakah Ed yang membunuh abangnya dan menyebabkan api pembakaran menjadi marak.

Image via:https://allthatsinteresting.com/

Disebabkan tiada bukti yang kukuh, maka Ed terlepas dari tuduhan tersebut. Selepas kematian abangnya dan juga ibunya beberapa tahun kemudian, Ed mengubahsuai rumahnya di ladang. Dia menutupi semua bilik yang digunakan oleh ibunya dan berpindah ke satu bilik yang mempunyai dapur. Semasa dia tinggal sendirian di ladangnya itu, dia mula tertarik dengan majalah death-cult dan kisah Nazi-Cannibal. Jadi dari bahan bacaan gila ini dia mula rasa nak buat pembunuhan yang gila.

Baca juga: Edmund Kemper – Pembunuh Bersiri Yang Kisahnya Terlalu Kejam Untuk Diterima Akal!

Kemudian pada bulan November 1957, seorang pemilik kedai perkakasan di kawasan tempat dia tinggal dilaporkan hilang. Nak dipendekkan cerita, malam sebelum pemilik kedai tu hilang, Ed dikatakan telah pergi ke kedai tersebut. Tanpa membuang masa polis terus menahannya di rumah dan memeriksa kawasan rumahnya. Di kawasan luar rumahnya mereka tidak menjumpai apa-apa, tetapi alangkah terkejutnya bila masuk ke dalam rumah Ed. Bahagian tubuh manusia bersepah di dalam rumahnya. Macam dalam filem Silence of the Lambs.

Kegilaan Yang Cukup Gila!

Banyak tulang-tulang manusia dijumpai, tengkorak yang diletakkan dikatilnya, serta perkakas dapur yang diperbuat dari tengkorak. Tak cukup dengan tulang dan tengkorak, kulit manusia juga dijadikan sebagai perabot di rumahnya. Terdapat sebuah kerusi yang dijahit dengan kulit manusia. Polis kemudian menjumpai mayat pemilik kedai perkakas dalam keadaan kepalanya dipenggal dan jantungnya tergantung di dalam plastik. Tubuhnya telah dirobek dan dicengkam seperti bangkai rusa. Memang tidak boleh bayang kegilaan yang di lakukan oleh Ed Gein.

Image via:https://time.com/

Ketika disoal siasat, Ed Gein memberitahu polis bahawa dia telah menggali sekurang-kurangna 40 kubur dan mengambil mayat-mayat tersebut. Tetapi tindakannya dikatakan dilakukan dalam keadaan dia kurang waras. Kalau jadi dekat Malaysia ada 40 kubur digali dan mayatnya hilang, sure masuk Mastika cerita tu. Ketika ditanya kenapa dia mengambil mayat-mayat tersebut, dia memberitahu selepas ibunya meninggal, dia cuba untuk menghasilkan satu body suit wanita yang boleh dipakainya.

Walaupun banyak bahagian badan dan tulang dijumpai di rumahnya, Ed Gein hanya disabitkan satu kesalahan membunuh sahaja, iaitu pemilik kedai perkakas tadi. Dia mengaku tidak bersalah dan mendakwa dirinya tidak waras. Mungkin ada betulnya sebab orang yang tak waras je boleh buat apa yang dia buat. Akhirnya dia meninggal dunia pada umur 77 tahun di sebuah institusi kesihatan mental dan akan diingati sebagai pembunuh paling kejam dan gila.

Baca juga: “Yang Jahat Pasti Menemui Ajal” – Pembunuh Bersiri Yang Membunuh 47 Penjenayah Lain Dalam Penjara

Written by: Hamka Rosli


Previous post