Jika dilihat komen wargamaya berhubung tulisan atau gambar yang dipaparkan di media sosial, boleh dilihat semakin menjadi-jadi penyakit tidak senang hati atau iri hati atau lebih tepat penyakit ‘jiwa kacau’ di laman berkenaan. Perhatikan apabila sesuatu gambar dikongsi, pasti akan ada ciapan komen yang secara tidak sedar menonjolkan sifat dan identiti si penulis atau pengguna media sosial itu sendiri. Pelbagai reaksi dapat dilihat sama ada yang memberikan sokongan dan tidak kurang hebatnya juga yang memberi kecaman.

Selain itu, ada juga pengguna media sosial yang ‘jiwa kacau’ dengan memadam gambar yang sudah dimuat naik hanya kerana tidak mendapat jumlah like atau komen yang diinginkan. Itulah antara perangai orang-orang kita di media sosial sampai ada yang kata pengikut berjuta pun belum tentu jiwa tenang.
Tunjuk Benda Best Je, Realitinya Tidak Pun
Menurut perkongsian Encik Hafizul Amin, Pensyarah Universiti Antarabangsa Albukhary, pertama sekali kita perlu faham fungsi media sosial ini. Ia boleh digunakan untuk kebaikan seperti sebagai medium untuk berhubung dengan orang lain atau berkongsikan perkara-perkara yang baik kepada pengikut. Bagaimanapun, bila bercakap tentang ‘jiwa kacau’ ini ada kelompok yang berada di media sosial hanya untuk menunjukkan perkara-perkara yang direka sahaja.

Kelompok ini ada satu perasaan yang hanya ingin update hal-hal yang indah sahaja, tetapi realitinya tidak selalunya begitu. Jadi bila ternampak orang lain pun update benda yang lagi mewah, kelompok ini akan mula rasa iri hati dan mahu menjadi lebih mewah daripada yang lain. Hakikatnya, diri latar belakang golongan tersebut tidaklah terlalu mewah dan akhirnya sanggup berbohong.
Ia juga secara tidak langsung akan menimbulkan persepsi tidak baik dalam kalangan pengguna media sosial lain. Apa yang lebih teruk, perkara ini berkangkit kepada golongan-golongan muda yang turut ingin memuat naik isi kandungan demi mendapat perhatian ramai. Sementara itu, Hafizul turut menyatakan bahawa beliau tidak bersetuju dengan kenyataan ‘tidak suka, jangan tengok,’ kerana kita tak boleh kawal apa yang ingin dilihat oleh orang lain. Kadang-kadang salah itu adalah pada diri kita sendiri kerana membuka ruang untuk orang lain mengecam.
Gian Media Sosial Boleh Sebabkan Kesunyian
Tambah Hafizul lagi, masalah ‘jiwa kacau’ juga boleh dikaitkan dengan masalah narcistic ataupun personality disorder. Golongan ini akan memaparkan sisi yang sangat berbeza di media sosial dan dunia nyata. Selain itu, terdapat juga kajian dari Universiti Pensylvenia yang mengatakan sekiranya seseorang kerap menggunakan media sosial, ia akan meningkatkan perasaan sunyi atau disebut juga loneliness.

Walaupun masalah ‘jiwa kacau’ ini sering dilihat melibatkan golongan remaja, mereka yang dewasa juga terdedah dengan masalah ini kerana penggunaan media sosial kini datang daripada pelbagai peringkat umur. Jadi jalan terbaik untuk mengelakkan masalah ‘jiwa kacau’ adalah dengan berfikir dahulu sebelum memuat naik sesuatu di media sosial. Kita perlu fikir apa akibat atau kesan terhadap diri kita sekiranya kita memuat naik sesuatu gambar, video ataupun status. Selain itu, selari dengan satu kajian ini yang mengatakan pengurangan penggunaan media sosial akan membuatkan kita menjadi insan yang lebih baik. Jadi, pilihlah jalan terbaik bagi menghindarkan diri daripada masalah ‘jiwa kacau’ disebabkan penggunaan media sosial.
Untuk dengar perbincangan penuh, klik link ini.
Baca juga artikel menarik lain:
Pengaruh Gadget Terhadap Anak-Anak, Terkawal Atau Tidak?
Penggal Kepala Bapa Dan Berarak Keliling Kampung Sebab Tak Bagi Izin Kahwin Gadis Pilihan