Setiap orang mempunyai keselesaan bekerja yang berbeza. Ada yang selesa bekerja makan gaji, dan ada juga yang selesa bekerja sendiri. Memang berbeza kerja makan gaji dengan bekerja sendiri ni. Kalau makan gaji biasanya kerja kita adalah tetap dan waktu bekerja juga tetap selama lapan jam sehari. Dari segi gaji pula, walaupun tidak begitu besar, namun setiap bulan pasti akan dibayar dan ada jaminan. Kalau gaji rasa macam tak cukup pula, terpaksalah juga berikat perut atau buat kerja sambilan untuk cari duit lebih.
Bekerja sendiri pula dari segi gaji memang lumayan kalau kena dengan usaha yang diberikan. Namun kesukarannya tetap ada sebab gaji tidak tentu setiap bulan. Kalau hasil perniagaan menguntungkan pada bulan itu, maka dapatlah gaji yang banyak. Selain itu, bekerja sendiri juga terdedah kepada risiko kerugian. Masa bekerja juga tidak menentu dan kadang-kadang memerlukan kita bekerja pada hujung minggu. Itulah sedikit sebanyak perbezaan bekerja makan gaji dan bekerja sendiri.
Kerja Sendiri Sebab Faktor Keluarga
Menerusi perkongsian bersama dengan seorang pemanggil yang dikenali dengan nama Anna, baginya bekerja sendiri ini adalah untuk mendapatkan kebebasan waktu bekerja. Kini dia yang bekerja sendiri merasakan ketika pekerja ikut waktu pejabat, masanya dengan keluarga agak terikat. Bagaimanapun, masalah kesihatan anak juga menjadi salah satu faktor buatnya untuk bekerja sendiri kerana perlukan masa yang lebih buat keluarga. Jadi itu antara sebab kenapa seseorang itu memilih untuk bekerja sendiri.

Selain itu, perkongsian dengan pemanggil seterusnya yang dikenali dengan nama Eira, menyatakan bahawa kerja makan gaji ini hanya penat badan dan boleh berehat apabila pulang ke rumah. Namun, bekerja sendiri ini akan membuatkan kita rasa penat badan dan fikiran kerana perlu memikirkan tentang sasaran pada hari esoknya. Menurutnya lagi, bagi yang bujang mungkin boleh bekerja sendiri atau melakukan kerja-kerja sampingan lain untuk mencari duit lebih. Bagaimanapun, buat mereka yang berkeluarga mungkin ianya sedikit sukar kerana perlu membahagikan masa dengan anak-anak.
Kata Eira, dahulu dia pernah bekerja sendiri dengan tanggapan dia akan mempunyai banyak masa dengan keluarga. Namun, tanggapan itu meleset apabila dia bertambah sibuk dengan kerjanya. Pendapatan yang diperolehi memang lumayan, namun apa gunanya sekiranya masa dengan anak-anak tergadai begitu sahaja. Jadi bagi Eira, duit banyak tapi kalau tak ada masa pun tak boleh juga.
Itulah sedikit perkongsian mengenai kelebihan dan juga cabaran makan gaji atau kerja sendiri. Lain orang, lain caranya demi mencari hasil pendapatan yang halal. Usah terikut-ikut dengan kata-kata tentang bekerja sendiri itu lebih baik atau seronok berbanding kerja makan gaji, kerana di akhirnya semua bergantung kepada kemampuan diri kita sendiri.
Untuk dengar perbincangan penuh, klik link ini.
Baca juga artikel menarik lain:
“Tak Pakai Mask Kebal Virus Ke Ni?” – Fashion Show Didakwa Tak Ikut SOP, Netizen Minta Polis Siasat
Akibat Bergurau Londeh Seluar Rakan Di Hadapan Orang Ramai, Lelaki Ini Maut Ditikam