Bayangkan jika ada wanita yang tersenyum melihat anda seperti ini? Bak kata orang Indonesia, merinding!
Baru-baru ini berlangsungnya malam gala dan sidang media filem Lembayung di GSC Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya. Acara tersebut dimeriahkan dengan kehadiran pelakon Anna Jobling, Arya Saloka, pengarah Baim Wong serta peminat filem seram dan Anna Jobling Fan Club. Peminat dan juga rakan media mula memenuhi ruang legar seawal jam 7.30 malam.
Filem Lembayung diinspirasikan daripada sebuah cerita benar yang pernah menggemparkan aplikasi X, membawa penonton mengikuti kisah dua pelatih pergigian, Pica dan Arum, yang menjalani latihan amali di sebuah klinik di pinggir bandar Yogyakarta. Kehidupan mereka yang mula berubah menjadi mimpi ngeri apabila seorang pesakit misteri berambut panjang muncul pada waktu malam, mencetuskan peristiwa aneh dan menyeramkan. Keadaan menjadi lebih tegang apabila Arum dirasuk, memaksa Pica membongkar rahsia gelap klinik itu sebelum lebih ramai menjadi mangsa.
Karya ini merupakan filem pertama arahan pelakon terkenal Indonesia, Baim Wong yang sudah mencatatkan kejayaan luar biasa dengan menarik lebih 1.6 juta penonton ke panggung di seluruh Indonesia. Lembayung turut disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 filem lokal terlaris di Indonesia pada tahun 2024.
Filem ini diterbitkan oleh salah satu syarikat produksi terbesar di Indonesia iaitu Prime Eagle Studios dengan kerjasama Tiger Wong Entertainment. Manakala di Malaysia, GSC Movies dan Suraya Filem Distribution menjadi pengedar filem serta Hot FM dan Kool 101 selaku radio rasmi.
Lembayung menampilkan barisan pelakon hebat dari Indonesia, termasuk Taskya Namya, Yasamin Jasem, Arya Saloka, dan Daffa Wardhana. Lebih membanggakan, pelakon Malaysia, Anna Jobling, turut memegang watak utama dalam filem ini iaitu sebagai Tantri dan menerima pujian meluas atas lakonannya yang berkesan.
Kami di Kool 101 yang sudah menonton tayangan perdana filem ini, memang lemah jantung dibuatnya! Terlalu banyak scene yang tidak boleh diproses minda dalam waktu singkat. Adakah banyak jumpscare? Haaa anda kena lah tonton nanti!
Anna Jobling dan Baim Wong sempat meluangkan waktu di Kool 101 mempromosikan filem tersebut dalam segmen Pagi On Point Bersama PakNil, Haiza dan Muaz. Menurut Baim Wong, ketika mencari pelakon untuk melakonkan watak Tantri yang mana dialognya hampir tidak ada itu memang sangat sulit. Beliau sememangnya mencari susuk wanita yang kurus dan berkulit putih untuk menyamai karakter hantu itu supaya ia mirip kisah benar. Apabila bertemu dengan Anna Jobling, Baim berkata Anna ialah pelakon yang tepat sekali untuk membawakan watak tersebut. Katanya, “ketika casting, Anna hanya perlu senyum sahaja.”
View this post on Instagram
Adakah Klinik Lembayung itu memang wujud?
Ketika Baim ditanya oleh Haiza mengenai adakah benar Klinik Lembayung itu wujud, Baim berkata nama asalnya bukan Lembayung dan harus dirahsiakan. Filem ini berdasarkan kisah benar yang pernah diceritakan dalam sebuah thread di aplikasi X iaitu Jin Poli Gigi. Set filem ini di Yogyakarta namun set Klinik Lembayung tidak boleh diberitahu spesifik lokasinya kerana banyak hospital dan klinik yang tidak mahu digunakan sebagai lokasi filem seram. Salah seorang wanita daripada kisah benar ini juga tidak mahu ditemu ramah oleh produksi Baim Wong.
“Dua orang wanita iaitu Pica dan Arum itu, sehingga ke hari ini Arum tidak mahu di interview kerana dia itu yang hampir mati. Jadi yang mahu di interview itu hanyalah Pica.” – Baim Wong
Baim berkata, untuk mengelakkan daripada dikenali ramai, Pica sering memakai pelitup muka ketika di hospital. Apabila filem ini ditayangkan, Pica menangis saat menonton scene yang dilakonkan oleh Anna Jobling.
“Scene Anna itu adalah scene yang paling betul dari semuanya kerana Pica menangis ketika menonton scene itu, katanya seperti mirip sekali.” – Baim Wong
Pengalaman Anna Jobling melakonkan watak hantu dalam filem seram Indonesia?
Anna Jobling berkata, cara kerja di Indonesia sama sahaja dengan Malaysia yang memerlukan Anna kerja hingga lewat malam. Yang berbeza hanyalah mungkin dari segi bahasa namun Anna sangat gembira diterima baik oleh rakan-rakan produksi dan peminat di Indonesia.
“Bila kena berlakon tiada dialog ini susah sikit sebab you kena main peranan dengan your body language. Kena buat senyuman yang berbeza-beza.” – Anna Jobling
Anna menetap di Indonesia selama 22 hari sewaktu penggambaran filem Lembayung dan teruja serta kagum melihat set yang dibina real untuk nampak betul-betul sama seperti kisah benar yang diceritakan oleh Pica.
Seringkali kita dengar, setiap pelakon dan kru produksi pasti ada kisahnya tersendiri sepanjang penggambaran berlangsung lebih-lebih ketika penggambaran filem seram. Anna Jobling dan Baim Wong juga tidak menafikan ada insiden-insiden mistik yang terjadi semasa penggambaran filem ini.
Scene Anna Jobling senyum meletup dan dibincangkan seluruh Indonesia
Baim Wong berkata, disebabkan Anna Jobling merupakan muka baru di Indonesia dan rata-rata rakyat di sana tidak kenal siapa Anna membuatkan satu scene Anna senyum itu sahaja hangat dibincangkan di seluruh Indonesia. Beliau juga menitipkan pesan buat Anna untuk mula belajar bahasa Indonesia selepas melihat lakonan mantap Anna Jobling.
“Memang saya ingin pelakon dari Malaysia dikenali di Indonesia. Ketika dalam proses editing dan saya lihat lakonan Anna bagus, jadi saya bilang pada dia selepas premiere ditayang, kamu akan banyak dapat tawaran. Belajar bahasa Indonesia. Kerana saya sudah melihat filemnya.” – Baim Wong
Ternyata benar, selepas sahaja filem ini ditayangkan di Indonesia pada September lalu, Anna sudah menerima banyak tawaran berlakon di Indonesia. Kata Anna, tahun depan kebanyakkan job Anna adalah di sana.
Filem Lembayung bakal menghantui di seluruh pawagam di Malaysia bermula 5 Disember ini!
Dengarkan perbualan penuh Pagi On Point PakNil, Haiza & Muaz bersama Baim Wong dan juga Anna Jobling di KoolCast sekarang.