Pameran Antarabangsa Greentech & Produk Eko 2023 (IGEM – 2023) merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber Asli Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) bekerjasama dengan Malaysian Green Technology & Climate Change Corporation (MGTC). Acara ini akan berlangsung dari 4 hingga 6 Oktober 2023 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Sejak tahun 2018, pameran ini telah menarik perhatian ramai. Pada tahun ini, ianya semakin istimewa apabila YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia Ke-10, bersama dengan YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, akan merasmikan IGEM 2023 serta melancarkan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR) pada 5 Oktober 2023.
Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan, termasuk Pameran Showcase Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) dan juga sesi Perbualan Ringkas (Pocket Talk) bersama pemain industri yang akan membincangkan topik seperti bangunan hijau, kecekapan tenaga, tenaga solar PV, tenaga bolehbaharu, hibrid dan banyak lagi.
Bukan itu sahaja, melalui aktiviti-aktiviti ini, masyarakat terutamanya pelajar, agensi, dan wakil industri, akan dapat melihat dan memahami usaha ke arah kelestarian tenaga dan pengurangan jejak karbon negara yang dicadangkan oleh YAB Perdana Menteri serta pada masa yang sama, memberikan faedah kepada ekonomi, dan membina jalan ke arah masa depan yang lebih lestari.
Apa tunggu lagi, mari sama-sama berinteraksi dan memeriahkan IGEM-2023 pada 4 – 6 Oktober 2023!